Pengembaraan pelajar tiga buah sekolah di Singapura ke Gunung Kinabalu bertukar tragedi selepas seorang disahkan muat manakala tujuh lagi bersama dua guru masih hilang.
Semua mereka merupakan antara sebahagian pelajar Sekolah Menengah Fuchun, Sekolah Menengah Greenridge dan Sekolah Rendah Tanjong Katong, berada di Gunung Kinabalu untuk mengikuti pengembaraan sambil belajar di luar negara.
Sementara itu gambar yang menunjukkan mayat sekumpulan pendaki (kelihatan seperti masih remaja) masih terikat di batu gunung tersebar di media sosial pagi Sabtu.
Tiada keterangan gambar siapa tetapi pihak berkuasa mengesahkan mereka menemui sembilan lagi mayat hari ini.
Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, semua mangsa ditemui di beberapa lokasi berbeza di sekitar puncak gunung berkenaan.
"Semua mayat ditemui masih belum dikenal pasti identitinya.
"Operasi membawa keluar semua mayat akan dilakukan secepat mungkin menggunakan helikopter," katanya ketika sidang media di Taman Kinabalu, hari ini.
Mohd Farhan berkata, jumlah mangsa yang terkorban setakat ini adalah 11 orang termasuk dua mangsa yang ditemui lewat malam tadi manakala baki lapan lagi individu masih hilang.
Dalam pada itu, Perdana Menteri, Lee Hsien Loong berdoa kesudahan yang baik berhubung nasib lapan pelajar sekolah dan dua guru mereka yang hilang susulan gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter yang melanda Sabah semalam.
Dalam catatan Facebook beliau Sabtu, Lee berkata: "Ibu bapa dan keluarga berlepas dengan pesawat C130 Tentera Udara Singapura (RSAF) pada 9.30 pagi ini menuju ke Kota Kinabalu.
"Doakan yang terbaik. Akan kemas kini status pelajar dan guru kita di Kota Kinabalu yang hilang serta cedera apabila saya peroleh maklumat lebih terperinci."
Lapan pelajar, kesemuanya berusia 12 tahun, dan dua guru mereka tidak dapat dihubungi.
Timbalan Perdana Menteri, Teo Chee Hean juga menerusi catatan Facebook berkata, ibu bapa pelajar itu diterbangkan dengan pesawat RSAF pagi ini diiringi pegawai dan kaunselor dari Kementerian Pendidikan, serta pasukan perubatan dan pegawai perhubungan.
Sementara itu, dalam menyatakan simpatinya, Menteri Perhubungan dan Penerangan, Dr Yaacob Ibrahim berkata: "Ingatan saya kepada penduduk di Sabah, Malaysia.
"Ambil maklum bahawa keluarga warga Singapura ingin sekali mendapatkan lebih banyak maklumat. Pasukan Respons Krisis MFA telahpun digegaskan ke sana.
Bersabarlah sambil kumpulan ini berusaha sedaya upaya untuk menghubungi mereka yang memerlukan, dan berdoalah bagi keselamatan mereka yang terjejas akibat gempa bumi," katanya.
Gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter, yang merupakan kejadian gempa terkuat di Malaysia setakat ini, melanda kawasan Ranau pada pukul 7.15 pagi semalam.
Gempa bumi sederhana itu disusuli gegaran-gegaran kecil sehingga malam tadi dan ia turut dirasai di empat kawasan lain iaitu Tambunan, Tuaran, Kota Kinabalu dan Kota Belud.-6/6/2015
No comments:
Post a Comment