ul#list-nav { list-style:none; margin:20px; padding:0; width:525px } ul#list-nav li { display:inline } ul#list-nav li a { text-decoration:none; padding:5px 0; width:100px; background:#FF0099; color:#eee; float:left; text-align:center; border-left:1px solid #fff; -moz-border-radius: 5px; } ul#list-nav li a:hover { background:#FF6699; color:#000 -moz-border-radius: 5px; }
SISTER IN ISLAM BELA G 25,JANGAN INTIP DAN CARI AIB ORANG | Travelog Kehidupan Abadi Romeo

Friday, 11 December 2015

SISTER IN ISLAM BELA G 25,JANGAN INTIP DAN CARI AIB ORANG


Sisters in Islam (SIS) meluahkan rasa kesal terhadap kritikan dan tohmahan biadap yang dilemparkan kepada Kumpulan G25 selepas menganjurkan forum awam mereka yang bertajuk ‘Islam in a Constitutional Democracy.’

Menurutnya, dewasa ini menunjukkan semakin ramai dalam kalangan pembela agama atau pengamal undang-undang Syariah yang cepat melemparkan kutukan dan tuduhan yang tidak professional dan tanpa asas kepada pihak yang berusaha untuk memperbaiki sistem perundangan Syariah di negara ini.

“Seharusnya, suara progresif yang menyeru kearah pembaharuan untuk membaik pulih undang-undang, disertakan dengan hujah-hujah yang selari dengan ajaran Al-Quran dan Sunnah Rasulullah, disambut dengan baik kerana ia selaras dengan komitmen kerajaan untuk membanteras gejala ekstremisme dan menjadikan Malaysia sebagai model negara bermajoriti Muslim yang mengamalkan Islam beraliran wasatiyyah.

“Oleh itu, SIS berasa amat kesal apabila kritikan dan tohmahan biadap dilemparkan kepada kumpulan G25. Antara kritikan yang dilontarkan kepada kumpulan tersebut termasuklah tuduhan yang kumpulan tersebut menggalakkan zina berleluasa dan memanggil untuk kumpulan tersebut bertaubat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, SIS menegaskan bahawa operasi mencegah khalwat melalui intipan dan menjatuhkan maruah individu adalah bercanggah dengan ajaran Islam, apatah lagi sudah terdapat kes-kes tangkapan khalwat yang berakhir dengan kematian dan malangnya tiada tindakan undang-undang dilaporkan diambil terhadap mereka yang mengakibatkan kehilangan nyawa tersebut.

“Akta Kesalahan Jenayah Syariah terutamanya yang berkaitan dengan ‘moral policing’ amat bertentangan dengan prinsip keadilan dan hak privasi yang dijamin dalam Islam.

“Terdapat pelbagai surah dalam Al-Quran yang menunjukkan ini, seperti Surah al-Hujurat (49:12) yang berkata, “Janganlah mencari rahsia orang lain” dan Surah an-Nur (24:27, 28) yang berkata: “Janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya; jika dikatakan kepada kamu ‘baliklah’, hendaklah kamu berundur balik; cara yang demikian adalah lebih baik untuk kamu,” jelasnya.

Tambahnya, tiada sumber akademik dalam sejarah Islam yang mewar-warkan amalan mengintip dan mencari aib orang lain melalui ‘moral policing’.

“Perbuatan mengintip juga melanggar hak rakyat hidup dalam negara demokrasi sepertimana yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Adalah amat dikesali apabila undang-undang jenayah Syariah di Malaysia diimplementasi tanpa mengambil kira prinsip keadilan, hak privasi dan pembelaan maruah individu.

“Sebaliknya, operasi khalwat dijalankan untuk menjatuhkan maruah individu atas dasar agama dan yang lebih dikhuatiri adalah kecenderungan untuk melakukan serbuan khalwat terhadap mereka yang berpendapatan sederhana dan rendah atau mereka yang dipinggirkan masyarakat.

“SIS menyeru ahli pembela agama dan pengamal undang-undang Syariah untuk menerima kritikan konstruktif dan cadangan yang berlandaskan hujah-hujah Islamik dan bekerjasama untuk membaikpulih sebarang kepincangan dalam pentabdiran dan pelaksanaan undang-undang Syariah di Malaysia.

“Kemaslahatan orang Islam akan lebih terbela apabila kita berpegang teguh kepada ajaran Islam yang membela hak asasi manusia dan menekankan sikap kasih sayang dan keinsafan,” katanya.



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...