KUANTAN: Segala-galanya serba tidak menjadi buat Pahang kerana misi mencari gol tidak kesampaian sehingga wisel penamat ketika seri 0-0 berdepan Selangor pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur, sebentar tadi.
Keputusan itu juga meletakkan skuad Tok Gajah berada dalam situasi sukar pada separuh akhir kedua piala itu apabila bertandang ke Stadium Shah Alam, Ahad ini.
Sebaik perlawanan dimulakan, Selangor lebih bersedia apabila melancarkan serangan awal menerusi Guilherme de Paula Lucrecio tetapi rembatan penyerang dari Brazil itu melepasi palang seawal minit ketiga.
Selepas itu, barulah skuad Tok Gajah mula mengatur gerak dan menguji kekebalan jentera Selangor yang diketuai Muhd Shahrom Abdul Kalam dalam usaha memburu gol pendahuluan.
Tuan rumah yang perlu mencatat kemenangan besar sebagai bekalan selesa ke Stadium Shah Alam tidak berputus asa untuk memecah kebuntuan dan peluang terbaik Pahang menerusi Matthew Davies tetapi bola tendangannya terus ke dakapan penjaga gol, Norazlan Razali pada minit ke-20.
Tiga minit berselang, pemain tengah Pahang, Azamuddin Mohd Akil turut berpeluang untuk muncul penjaring apabila bola rembatannya berjaya ditepis keluar Norazlan. Begitu juga rembatan pemain tengah, Mohd Hafiz Kamal dari luar kotak penalti apabila bola terkena palang walaupun Norazlan sudahpun tertewas pada minit ke-40.
Namun, kedua-dua pasukan terutama Pahang terpaksa akur bahawa tiada jaringan mampu dilakukan untuk menamatkan aksi separuh masa pertama.
Sebaik bersambung babak kedua, menyedari jaringan amat diperlukan Pahang melancarkan serangan dan hampir membolosi gawang lawan daripada percubaan Azamuddin dan Matias Conti, masing-masing pada minit ke-49 dan 51.
Tidak mahu mengalah, Selangor juga berusaha untuk melakukan serangan dan turut memiliki peluang berbuat demikian tetapi dihampakan dengan kekentalan pertahanan tuan rumah.
No comments:
Post a Comment