Pages

Sunday, 6 December 2015

TUNKU ABDUL JALIL ANAKANDA SULTAN JOHOR MANGKAT


JOHOR BAHRU – Anakanda keempat Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni almarhum Sultan Iskandar, iaitu Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil telah disahkan mangkat, petang Sabtu.

Sebelum ini, satu portal berita tempatan pernah melaporkan bahawa Tunku Abdul Jalil menghidap kanser hati tahap empat dan kondisi kesihatannya turut dikatakan semakin kritikal.

Berita kemangkatan Tunku Abdul Jalil turut disahkan ibu saudara baginda, Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Sultan Iskandar menerusi laman sosialnya.

“Inna lillah wa inna ilaihi rojiun….. semoga Allah SWT cucuri rahmat ke atas roh anak saudara saya Jalil yang baru mangkat kembali ke Rahmatullah… Al-fatihah….,” tulisnya.
azizah
Menurut sumber daripada istana, jenazah Almarhum akan dibawa balik ke Istana Besar Johor di sini dan akan disemadikan dimakam DiRaja, Jalan Mahmodiah, pada Ahad selepas solat Zohor.

“Mohon persiapan dari segi keselamatan dan lalulintas di kedua-dua tempat,”tulis kenyataan itu. Sebelum ini, pelbagai spekulasi tentang keadaan kesihatan Tunku Abdul Jalil diperkatakan.

Difahamkan putera itu dirawat di salah sebuah hospital di Singapura. Terdahulu, pengguna laman sosial yang bersimpati dengan keadaan Tunku Abdul Jalil juga telah mewujudkan hashtag #prayForTunkuJalil.

Para peminat bola sepak negeri tersebut turut memasang kain rentang yang bertuliskan hashtag itu di pagar salah sebuah stadium dalam perlawanan tempatan melibatan pasukan JDT.
Fullscreen-capture-6152015-10419-PM
Difahamkan, almarhum Tunku Abdul Jalil suatu ketika pernah menjalani pembedahan organ di sebuah hospital di bandar raya Guangzhou, wilayah Guangdong, China.

Malah, menerusi laman Facebook Sultan Johor, baginda ada memaklumkan anakandanya, Tunku Abdul Jalil sedang menjalani rawatan di sebuah hospital setelah mengalami jangkitan berulang.

Almarhum disifatkan sebagai individu yang berjiwa rakyat dan amat disenangi ramai orang kebanyakan dek keramahan, kemesraan dan senyuman ceria yang sentiasa terukir pada wajahnya.

Stesen radio tempatan BestFM dan Johor FM sejak waktu Maghrib turut memutarkan lagu-lagu sentimental dan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran menerusi siaran program harian mereka.
Tengku-Jalil-Siti_4
Selain itu, seperti diketahui ramai, Tunku Abdul Jalil juga merupakan sahabat baik kepada penyanyi Nombor Satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin.

Almarhum yang dilahirkan pada 5 Julai 1990 merupakan putera keempat Sultan Ibrahim dan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah.

Portal berita tempatan turut melaporkan Tunku Abdul Jalil mangkat pada pukul 7.11 malam Sabtu di Wad Diraja Hospital Sultanah Aminah di sini.

No comments:

Post a Comment