Pages

Sunday, 7 June 2015

FINAL BOLAJARING SUKAN SEA MALAYSIA BERDEPAN SINGAPURA HARI INI


Skuad bola jaring negara menepati ramalan apabila melangkah ke perlawanan akhir Sukan SEA 2015 selepas tidak menghadapi masalah untuk menewaskan Brunei 79-23 di OCBC Arena semalam.

Kemenangan itu meletakkan mereka semakin hampir untuk mempertahankan pingat emas yang dipertandingkan buat kali terakhir dalam Sukan SEA 14 tahun lalu, namun perlu menentang Singapura yang turut ke perlawanan akhir hari ini selepas menundukkan Thailand 59-29 dalam satu lagi separuh akhir semalam.

Pemain posisi serangan (GA) skuad negara Izyan Syazana Mohd. Wazir berkata, kesilapan kecil semasa melakukan hantaran bola wajar diperbaiki andai mahu menang ke atas pasukan tuan rumah nanti.

“Saya percaya dengan strategi yang jurulatih akan gunakan dalam perlawanan akhir. Jika kelemahan hantaran bola dapat kami perkemaskan sudah tentu tiada masalah untuk meraih kemenangan.

“Dalam masa sama kami juga perlu berwaspada dengan ancaman Singapura kerana mereka memiliki pemain penjaring (GS) yang amat hebat,” kata Izyan.

Malaysia akan turun sebagai penyandang juara Sukan SEA 2011 di Kuala Lumpur manakala Singapura dengan status sebagai pasukan No. 1 Asia.

No comments:

Post a Comment