Pages

Thursday, 25 September 2014

ISIS Rekrut Militan Malaysia Melalui Media Sosial

Kumpulan Militan Negara Islam Iraq dan Syria (Isis) kini semakin bijak dalam strategi mereka untuk merekut lebih ramai pejuang mereka dengan menggunakan media sosial yang lebih mudah dan berkesan. – Gambar Reuters, 22 September, 2014.

Kumpulan Militan Negara Islam Iraq dan Syria (Isis) menggunakan media sosial sebagai kaedah merekrut utama mereka, mendaftarkan pejuang dari seluruh dunia, termasuk 40 rakyat Malaysia, kata satu sumber.

Pegawai perisik kanan memberitahu The Malaysian Insider, media sosial menjadi saluran utama kumpulan militan tersebut untuk merekrut rakyat Malaysia, tidak seperti awal tahun 2000 di mana kebanyakan kerja-kerja merekrut dijalankan melalui sekolah agama.

Kebanyakan daripada 40 rakyat Malaysia yang sedang berperang bersama militan Isis di Timur Tengah dipengaruhi untuk berjuang menggunakan media sosial, kata pegawai tersebut dan menambah, kaedah tersebut boleh menarik yang lain untuk menyertai perang tersebut.


Malaysia setakat ini menahan 19 militan yang berkaitan dengan Isis dan masih mencari lima lagi militan, kata pihak berkuasa.

Ada antara mereka, seperti bekas Ketua Penerangan Pemuda PAS Kedah Lotfi Ariffin yang terbunuh di Syria, bukan sahaja memuat naik status tentang aktivitinya dengan Isis di laman Facebooknya, tetapi juga menyeru orang lain supaya menyertainya.

Sebuah blog yang baru-baru ini mendapat perhatian ialah ahli kumpulan Negara Islam (IS) yang bernama "Shams", mendakwa dirinya doktor berumur 26 tahun dari Malaysia yang berada di Syria untuk membantu militan menggunakan kepakarannya dan berkahwin dengan pejuang Isis.

Pegawai perisik tersebut berkata, merekrut menggunakan media sosial merupakan pencapaian baru dalam dunia pengganas yang semakin berkembang.

"Kami sedang fokus kepada isu ini dan saya percaya kami bersedia seperti organisasi lain untuk menghadapi ancaman baru ini," kata pegawai itu.

Pegawai tersebut berkata, walaupun media sosial memainkan peranan yang penting dalam peristiwa Arab Spring, platform tersebut juga mewujudkan kebimbangan baru bagi agensi-agensi keselamatan.

"Kumpulan pengganas sedang menyesuaikan taktik mereka dan terpaksa berkembang kerana operasi membendung pengganas yang meluas di luar negara," kata pegawai tersebut.

"Kumpulan-kumpulan ini menjadi lebih cekap menggunakan operasi daerah, pengganas tempatan dan teknologi komunikasi sedia ada untuk kempen pengganas yang lebih panjang."

Pegawai tersebut berkata, kumpulan pengganas yang merekrut memberi inspirasi dan membimbing strategi global bukan sahaja melalui Internet, tetapi juga dengan komunikasi lebih canggih.

"Mereka juga menggunakan video propaganda yang banyak serta mesej menyeru pejuang baru yang berlegar melalui platform media sosial seperti blog, Facebook, YouTube dan Twitter."

Pegawai perisik kanan itu juga memberitahu The Malaysian Insider, sesetengah belia di Malaysia dijadikan sasaran rekrut melalui pentafsiran agama yang terpesong.

"Strategi mengumpul ramai orang yang berfikiran serupa bersama meningkatkan lagi sifat radikal jihadi."

Menurutnya, peranan media sosial dalam komunikasi hari ini lebih dinamik.

"Sebagai contoh, seorang aktivis di Mesir tweet tentang mengapa media digital sangat penting bagi organisasi yang mengalami pergolakan politik."

Pegawai itu berkata tweet aktivis tersebut berkata, "Kami gunakan Facebook untuk menjadualkan protes, Twitter untuk berkoordinasi dan YouTube untuk memaklumkan dunia."

Pegawai tersebut berkata, kenyataan itu menunjukkan perbezaan antara Internet dan media sosial.

"Media sosial akan pergi ke pihak radikal berbanding pihak radikal itu pergi ke Internet.

"Mereka yang ingin menjadi jihadi tidak perlu meninggalkan rumah untuk menjadi radikal atau menyertai mana-mana serangan pengganas yang merbahaya," katanya.

"Mereka boleh menjadi radikal dengan beberapa langkah kecil, tanpa perlu mengambil langkah besar di luar negara dan berisiko ditangkap agensi perisik.

"Dengan melayari forum di Internet yang tidak dipantau dan dilarang, mereka yang ingin menjadi jihadi boleh melabelkan diri mereka sebagai pengganas dengan sendirinya."

Mereka ini boleh mewujudkan sel pengganas alam maya untuk menyebarkan kepercayaan ideologi mereka, mengumpul dana dan mewajarkan serta mewujudkan motif bagi keganasan.

"Perkongsian maklumat yang kerap oleh bahagian pencegah keganasan di seluruh dunia merupakan salah satu penyelesaian untuk menangani masalah ini," katanya.

Selain pihak polis, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) juga sedang membantu memantau media sosial.

Bagaimanapun Pengarah Kanan Komunikasi Strategik Sheikh Raffie Abd Rahman berkata setakat ini mereka belum lagi menerima aduan tentang ini.

"Banyak perkara yang dibincangkan pengguna Internet di media sosial seperti Facebook, jadi ia agak sukar bagi kami untuk mengesan apa-apa yang mempromosikan kegiatan militan kecuali jika aduan dilaporkan," katanya.

Bulan lepas The Malaysian Insider melaporkan wanita Malaysia dipercayai menyertai militan Isis untuk menawarkan Jihad Al-Nikah ataupun jihad seksual.

Seorang pegawai perisik kanan juga mengesahkan terdapat tiga wanita rakyat Malaysia yang pergi ke Timur Tengah untuk menyertai pasukan militan Isis. 


SUMBER

No comments:

Post a Comment